Hari ini kita akan cuba dapatkan sebanyak mungkin reaksi, (kena jujur!) kepada situasi tertentu yang selalu kita hadapi tetapi jarang kita tanya orang lain, sebab situasi ini berlaku semasa kita berseorangan, tanpa kehadiran orang lain dan semestinya tanpa jelingan mereka, maka tindakan kita hanya akan dilaksanakan pada rasional pemikiran kita sahaja, berdasarkan keadaan yang sedang kita hadapi. Aku akan bagi beberapa contoh situasi yang pernah aku hadapi tetapi telah ditokok tambah, dan juga reaksi yang aku telah buat tapi aku tak akan mengaku itu yang aku buat sebab ia akan membuat aku tersipu malu tapi pada dasarnya aku tak boleh tipu yang itu sebenarnya apa yang berlaku. Ya, ayat yang memeningkan supaya anda tak faham dan aku tak berdosa menipu.
Situasi satu.
Anda terpaksa menggunakan tandas awam kerana malam semalam anda telah makan nasi biryani di empat majlis kenduri kahwin, dan anda pasti salah satunya menyediakan kuah yang agak melekit tetapi anda lantak juga atas dasar tidak mahu dilabel tidak menghormati tuan rumah. Akibatnya, anda perlu ke tandas setiap 17 minit tetapi terpaksa juga keluar rumah untuk bertemu sahabat sekolah lama, yang akan pergi berhijrah dan berkerja di Macedonia selama dua tahun.