Thursday, March 31

Lelaki adalah isteri, wanita adalah suami?


Pernahkah anda mengalami pengalaman yang hanya anda seorang sahaja yang berjantina lain dari yang lain pada suatu lokasi yang sama, dan diarahkan melakukan tugas yang sama dengan yang lain-lain? Mungkin soalan ini dirasakan peluang cerah seseorang untuk menunjukkan 'belangnya'. Namun, itu bukanlah tujuan utama aku membincangkan topik ini.

Ingin aku ceritakan pengalaman aku semasa Tingkatan 4. Aku telah dipanggil oleh guru aku dan ditawarkan untuk menyertai program English in Camp (EIC) peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh Malaysia yang diadakan di Sekolah Sains Syed Sheikh Shahbudin, di Pulau Pinang. Wakil dari sekolah aku terdiri daripada empat wakil yang salah seorang daripadanya adalah aku. Malah, akulah satu-satunya lelaki yang mewakili sekolahku. Berbanding dengan sekolah lain, hampir semuanya menghantar dua wakil lelaki, dan dua wakil perempuan untuk program tersebut.

Semasa di Tingkatan 5 pula, sekolah aku telah mengadakan program EIC peringkat sekolah di Kem Semuji, Gambang. Program ini adalah untuk semua pelajar Tingkatan 5. Kami semua dibahagikan dalam 12 kumpulan. Setiap kumpulan pula diwakili oleh seorang yang menjadi ketua kumpulan ataupun boleh dikategorikan fasilitator untuk kumpulan tersebut. Setiap fasilitator telah dilantik oleh pengajar-pengajar bahasa Inggeris berdasarkan reputasi dan rekod pencapaian masing-masing. Aku adalah salah seorang yang dilantik menjadi fasilitator untuk EIC tersebut. Apa yang menarik di sini adalah, dari 12 fasilitator yang dilantik, hanya seorang sahaja lelaki, iaitu aku.

Bukanlah aku mahu menceritahan reputasi aku dalam berbahasa Inggeris, tetapi nasib kedudukan orang yang sejantina dengan aku. Walaupun aku dipilih menjadi fasilitator, tetapi aku merasakan akulah yang paling 'rendah darjat' dalam berbahasa Inggeris berbanding fasilitator lain. Aku merasakan mereka yang dipilih adalah fasilitator sejati yang sememangnya mampu berbahasa Inggeris dengan cemerlang, sedangkan aku merasakan aku hanya mahir dalam menggunakan bahasa Inggeris ringkas dan mudah difahami.

Di manakah perginya warga Adam dalam situasi ini? Dilihat juga keadaan semasa hampir di seluruh dunia. Walaupun dari segi politiknya dunia masih didominasi oleh lelaki, namun secara beransur-ansur dominasi dalam aspek lain-lain semakin berkurangan. Contohnya dalam aspek pendidikan. Nisbah pelajar lelaki berbanding perempuan semakin meruncing. Begitu juga tenaga-tenaga pengajar.

Aku bukanlah seorang yang menentang kesamarataan gender, malah aku menyokong kaum Hawa untuk berusaha gigih dan menjadi seorang yang berjaya, malah lebih berjaya daripada lelaki. Kerunsingan aku sekarang adalah kepada kelayuan kaum Adam untuk terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan sendiri. Mungkin juga aku tergolong dalam kumpulan yang aku khuatirkan ini. Namun, kesedaran adalah lebih penting daripada terus lalai dibuai kesenangan yang sedia memberi keselesaan kepada diri.

Apakah faktor yang menybabkan hal ini terjadi? Banyak kemungkinan yang boleh diambil kira. Namun, setiap faktor haruslah dikaji dengan teliti dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan drastik.

Ke manakah hilangnya kekuatan lelaki yang sejak dahulu adalah bangsa yang gagah untuk meningkatkan kedudukan dan taraf kehidupan diri sendiri dan keluarga? Dalam setiap kepercayaan dan agama juga menyatakan lelaki adalah ketua dalam sesuatu organisasi. Lelaki adalah pemimpin. Lelaki adalah bertanggungjawab untuk memakmurkan dan memajukan dunia. Namun, apa yang berlaku sekarang adalah lelaki yang semakin hilang arah tuju. Lelaki yang lebih banyak menghuni pusat pemulihan berbanding pusat pengajian tinggi. Lelaki sekarang lebih mengharapkan kepada wanita untuk memajukan dirinya sendiri. Sepatutnya, lelakilah yang menjadi harapan kepada wanita.

Apakah dunia sekarang sudah menjadi terbalik? Tugas lelaki diambil alih oleh wanita, dan begitu juga sebaliknya? Ke manakah perginya tanggungjawab lelaki? Apakah wanita yang akan berusaha gigih mencari rezeki sedangkan lelaki duduk di rumah dan menjaga anak-anak? Apakah wanita yang akan mencari nafkah keluarga sedangkan tugas tersebut telah temaktub sebagai tugas lelaki?

Kejadian dunia terbalik ini sudahpun berlaku di kalangan kita pada masa kini. Marilah kita mencari jalan untuk mengelak masalah ini terus berlaku pada masa hadapan. Marilah kita usahakan. Janganlah sampai lelaki yang mengandung dan melahirkan anak, barulah kita mahu bertindak?



Mengenai Penulis Entri Ini :
Fadzrul Hisyam juga penulis untuk blog Fadzrulhisyam. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Khamis dan di Twitter. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label Fadzrul Hisyam. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah Tamatnya legasi Buffered Earning Nuffnang.

3 comments:

nn said...

teringat profile twitter bikmama. huhu

humbleyat said...

itulah realitinya..saya pula menjadi minoriti perempuan dlm bidang kerjaya saya..nak tak nak terpaksa bersaing dan membuat yg terbaek...:-)

jaa64 said...

nice post!! :)