Tuesday, March 8

Kadang aku tak bermaya






Assalamualaikum rakan-rakan. Terasa diri lama menyepi menghilang diri. Rindu kepada rakan blogger muncul semula saat terasa patut menghargai apa yang ada sebelum semua hilang dek kerana masa. Oh, pergi dan mati itu pasti. Redha dan tabah perlu untuk hadapi semua. Itu janji Dia.

Tiba-tiba rasa seperti tak tahu apa untuk dikongsi bersama sedangkan sebelum menaip, bermacam-macam perkara berlegar di kepala. Ingin aku kongsi satu cerita. Biasa sahaja, namun aku minta pendapat semua. 


Aku bermimpi tentang seseorang yang kini sudah tiada lagi di muka bumi Allah ini beberapa hari yang lalu. Mimpiku bukan baru terjadi, tapi ku pendam menjadi rahsia hati untuk diri sendiri. Aku kongsi bersama kerana aku ingin tahu apa makna mimpiku ini. Aku mengharapkan jawapan yang bukan untuk menjadi lawak antarabangsa, tetapi untuk aku pegang, untuk aku kuatkan hati tempuhi hari mendatang.

Mimpi aku lebih kurang begini. Aku sedang berjalan seorang diri di jalan raya. Tujuannya tidak aku ketahui. Aku disapa oleh seseorang yang sangat aku kenali (arwah datuk). Dia membonceng sebuah basikal dengan berpakaian serba putih, tersenyum padaku. Dia bertanya sama ada aku ingin menumpangnya atau tidak. Aku hanya gelengkan kepala dan dia berlalu pergi tanpa menoleh lagi ke arah aku.

Kemudian, aku berjalan lagi. Aku sampai ke rumahku. Pada ketika itu, aku sangat terkejut kerana diberitahu tentang kematian pak cik aku. Sedangkan sebelum itu, beliau kelihatan sangat sihat. Aku tak pergi menziarahinya kerana sangat terkejut. 

Beberapa ketika, kakakku pula meninggal kerana kemalangan di depan rumah. Aku terus tersedar dari mimpi.

Untuk pengetahuan semua, pak cik ku baru sahaja meninggal beberapa hari yang lalu. Aku teringat kepada mimpi itu. Aku sedar mimpi mainan tidur, namun aku sangat takut akan kehilangan kakak ku kerana sekarang beliau sedang sarat mengandung.

Sebelum ini, tiap kali aku bermimpi tetang arwah Wan (pernah aku ceritakan di artikel terdahulu) dan arwah datukku, pasti aku beritahu kepada orang tua aku. Tapi, aku tak tahu kenapa bila mimpi ini menjelma, aku kelu sampailah arwah pak cik aku pergi selamanya, aku teringat semula.

Mungkin ini ujian dari-Nya. Namun aku mohon sokongan juga doa. Aku manusia biasa. Sangat lemah. Kadang aku tak bermaya.

Mengenai Penulis Entri Ini :
izfanora juga penulis untuk blog senyuman gadis gerimis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Selasa. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label izfanora. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah Kerana itu ia dicipta.

No comments: