Tuesday, February 15

Gementar Sulung Si Pengarah Muda.


Maaf kerana terlepas mengemaskini entri untuk minggu lepas. Aku terlalu sibuk dengan hal-hal di fakulti dan juga kegiatan di kolej sehingga aku terlepas pandang untuk singgah dan kemaskini entri baru, apatah lagi untuk membaca entri-entri rakan-rakan yang lain.

Apa-apapun, kali ini aku hanya ingin mengetengahkan sesuatu: betapa sukarnya menjadi seorang pengarah. Lebih akuret lagi, seorang pengarah teater.


Untuk pengetahuan umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal mengadakan Festival Teater Universiti (FTU), suatu pertandingan tahunan yang terfokuskan pada cabang seni teater. FTU adalah pertandingan teater antara kelab-kelab teater kolej kediaman di UKM. Sekitar 10 ke 12 kolej bertanding saban tahun dan ia merupakan salah satu pertandingan yang seringkali ditunggu-tunggu oleh seluruh penggiat teater kampus dan juga penggemar teater secara amnya.

Jujur aku katakan aku langsung tiada nafsu dan minat terhadap teater sebelum ini, sehinggalah aku menjejakkan kaki ke UKM dan terlibat secara terus dengan teater apabila disuruh menjadi salah seorang ahli teknikal bahagian penataan cahaya untuk FTU dua tahun lepas. Menggeletar juga pertama kali mengendalikan alat kawalan lampu di Panggung Seni. Maklum sajalah, aku yang masih mentah dan naïf dalam dunia teater, tidak punya pengalaman yang luas dan juga tidak biasa dengan panel multi-butang yang mengelirukan itu.

Pendek cerita, tiga tahun berlalu dan sudah banyak produksi aku libatkan diri, baik di peringkat kolej kediaman mahupun peringkat universiti. Semester ini, FTU kembali lagi (selepas ia tidak diadakan pada tahun lepas oleh sebab-sebab tertentu yang aku sendiri tidak pasti) dan ahli kelab teater kolej aku sebulat suara inginkan aku mengepalai produksi kali ini sebagai pengarah. Mulanya aku takut campur segan untuk duduk di kerusi pengarah, mungkin kerana memikirkan bahawa aku kurang layak dan kurang arif untuk mengendalikannya. Namun aku ambil ia sebagai suatu cabaran yang ingin aku takluki.

Bukan senang hendak menjadi seorang pengarah. Segenap inci perincian tentang naskhah yang hendak diangkat, begitu juga dengan kemampuan para pelakon dan tenaga produksi harus diambil kira. Itu belum masuk bab hendak menjaga keharmonian nuansa setiap sesi latihan dan kesejagatan semua ahli produksi di dalamnya. Menjugel perasaan orang, mutu kerja dan juga hal-hal akademik di fakulti harus seimbang dan terancang. Makanya, secara tidak langsung semua ini membuatkan aku lebih berdisiplin.

Aku akan pastikan hal-hal akademik aku selesai sebelum jam 6 petang setiap hari. Tutorial yang belum terjawab, kerja rumah, tugasan-tugasan, rancangan pengajaran dan apa-apalah; semuanya mesti aku bereskan sebelum gelap kerana masuk saja jam 9 malam aku memusatkan kesemua fokusku pada sesi latihan teater bersama tenaga produksi. Latihan akan berlanjutan sehinggalah sekitar jam 3-4 pagi. Tidur hanya untuk beberapa jam selepas itu, hanya untuk bangun Subuh dan seterusnya ke kuliah pula. Letih memang letih. Namun dalam letih itu terselit rasa puas dan seronok bila berteater.

Mungkin sepanjang aku di bumi UKM aku telah ketemu dengan cintaku terhadap teater. Mungkin. Rasanya tidak salah untuk aku khabarkan yang tidak mustahil selepas aku tamat pengajian dalam jurusan TESL ini aku bakal meneruskan minatku dalam seni persembahan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Mana tahu, bukan?

Aku tidak nafikan, mengendalikan produksi kali ini jauh lebih mencabar daripada produksi-produksi yang pernah aku libatkan diri sebelum ini. Antara lain ialah apabila kita harus menjaga hati ramai pihak. Memang menjengkelkan, apatah lagi ramai yang bekerja dalam satu kumpulan hanya sekadar melepas batuk di tangga dan tidak bersungguh-sungguh. Ada pula yang bermotivasikan buruk dan sebagainya. Sukar untuk terus kekal positif dan jalankan tugas dikelilingi orang sebegitu.

Apa-apapun, aku harap semuanya berjalan dengan lancar. Membawa naskhah bersifat surrealist ini bukan mudah. Tafsiran harus teliti dan kekuatannya bergantung pada elemen-elemen sokongan seperti setting dan audio untuk menghidupkan cerita, di samping permainan emosi yang kukuh oleh para pelakon.


Oleh itu, aku dengan berbesar hati ingin menjemput semua pembaca entri ini untuk hadir menyaksikan pementasan teater yang diarahkan oleh aku buat pertama kalinya ini. InsyaAllah kalian akan pulang dengan suatu persoalan tentang kehidupan. Mudah-mudahan…

Mengenai Penulis Entri Ini :
shandye juga penulis untuk blog Monyet Merah Jambu Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Selasa dan di Twitter. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label shandye. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah S'petang Bersama Kamu - Bab: 20.

7 comments:

nn said...

sudah RSVP kat Facebook. insyaAllah datang support. goodluck!

shandye. said...

tq nn! huhuhu...

student said...

wah, tahniah!

UPDATE!
Buat langit ungu (2)
MARAH: Suatu Pilihan?
Hargailah kawan selagi dia ada

kusut said...

oh kalau aku ade dekat bangi, pasti aku pun nak pegi tengok. menarik!

i guess aku pun tak tahu camne rasa utk jadik pengarah so tak dlm la aku bayangkan camne gentarnye perasaan. tapi 2 kawan aku yg masih muda, dah pun berjaya arahkan movie masing2 just shows that muda tak semestinya tak boleh berjaya.

fight for your art ye. dan good luck

Fina Sophie said...

very interesting. teringin nak tgok u guys buat mmcna kerja2 directing tu, tp stkt ni tak pernah pula ada kwn org2 teater or production. haih.. :)

anyss said...

Salam,
Fuyoooooooooooooo! kagum betul!
Tahniah.
Ada gak tengok iklan tu...tapi ada xtvt lain sepanjang tempoh tu. Good Luck ya...tak mudah ketengahkan karya Marsli N.O tu


Terkini di blog saya;

Berapa banyak Cukup Untuk Kita

shandye. said...

kusut: thanks for the words of encouragement. lately tersangatlah busy sampai nak kemaskini entri kat 100p pun tak sempat. haih...

Fina Sophie: bak kata orang, tak kenal maka tak cinta! hahaha....

anyss: ye. Tuan Marsli selalu hubungi lewat emel. fuh! beban juga mahu angkat naskhah surrealism ni....