Tuesday, January 18

Kehilangan.


Semua orang pernah rasa kehilangan. Sama ada objek yang hilang itu sangat signifikan ataupun picisan itu tidak penting, yang pasti semua orang pada satu-satu period pasti akan merasakan kehilangan.

Aku juga tidak terkecuali.

Tolak tepi soal kehilangan cinta, wang ringgit mahupun cita-cita. Bulan April tahun 2004 bakal aku ingat buat selamanya apabila aku kehilangan sahabat paling akrabku, Adam.

Kami sama-sama satu sekolah di sekolah rendah, begitu juga di sekolah menengah. Rumah juga tidak jauh antara satu sama lain. Ibunya dan mak aku memang kamceng. Ayahnya sudah tiada sejak dia lahir, namun ayahku tidak pernah menganggap dia sebagai orang asing.

Cuma setelah tamat sekolah menengah kami berpisah. Dia membuat kursus asasi di MMU, dan aku ke UiTM Kedah untuk kursus asasi undang-undang. Tetapi jarak bukan pemisah, kami selalu berhubung. Telefon memang kerap, SMS memang setiap masa – macam pasangan kekasih pula kadang-kadang. Untuk menunjukkan betapa akrabnya aku dengan dia, aku sudah banyak kali benar menangis di pangkuannya setiap kali aku lagi sedang bersedih atau dilanda hiba. Dia memang pendengar yang paling setia.

Perginya Adam dalam nahas kemalangan benar-benar meragut tiang sokonganku selama ini. Terasa seperti roda di kiri dan kanan basikal si anak kecil dicabut dan dibuang begitu sahaja. Banyak kali juga untuk tempoh enam bulan berikutnya selepas Adam selamat dikebumikan aku selalu ‘terlupa’ seolah-olah seperti dia masih lagi berada di sisi. Acap kali aku terdail nombor telefon bimbitnya, hanya untuk menyedari bahawa nombor itu sudah lama tidak aktif. Terhantar nombor dan kemudiannya merajuk sendiri apabila sahabat baik enggan membalas usah dikata, memang sudah terlalu kerap terjadi (kadang-kadang sehingga ke hari ini juga aku masih begitu!).

Kadang-kadang kalau aku sedang jalan-jalan dan membeli-belah secara tingkap dan ternampak kemeja atau jeans yang aku kira pasti akan segak dikenakan oleh Adam, aku pantas keluarkan telefon untuk ambil gambar dan hantar sebagai MMS kepadanya, hanya untuk menepuk dahi sendiri dan mengeluh tentang kealpaan diri bahawa dia sudah tiada.

Aku jadikan rutin baru. Saban Aidilfitri dan ulang tahunnya, aku akan menziarahi pusaranya; sedekahkan Fatihah dan untaian doa-doa, dan seterusnya duduk di situ buat sejenak, sekadar untuk ‘bercerita’ kepadanya tentang apa yang telah berlaku ke atasku setakat ini. Entahlah, kedengaran seperti gila tetapi aku selesa begitu. Secara tidak langsung aku seperti dapat rasanya yang dia tidak pernah tinggalkan aku.

Aku akui aku kehilangan dia secara fizikalnya, tetapi esen dirinya tidak pernah terhapus dari hati dan benakku.



Mengenai Penulis Entri Ini :
shandye juga penulis untuk blog Monyet Merah Jambu Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Selasa dan di Twitter. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label shandye. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah S'petang Bersama Kamu - Bab: 17.

6 comments:

feeqa rayyan said...

alfatihah semoga rohnye dicucuri rahmat Allah n berada dikalangan hamba Allah yg beriman..even xkenal awk n arwah adam but i knows how its felt when losing sumone...keep on smiling coz sure he want u to be happy always=) assalamualaikum..

ezzu said...

semua org pernah merasai kehilangan..aku pun turut bersedih jgak....

therosputih said...

al fatihah buat arwah adam...kehilangan sebenarnya sentiasa memilukan...sob sob sob

anyss said...

Salam,

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. Alfatihah. Doakan dia berbahagia di sana

Jom join;
Kontes Cerita Paling Lawak sedunia

r.k said...

Sedih . Sampai tahap MMS dan antar kepada nombor arwah . ahh , it must be hard for u . T.T

humbleyat said...

bila kit aterlalu rapat, mmg mcm tu la situasinya, sentiasa rasa dia ada di sisi kita..tapi cuba belajar demi sedikit untuk teruskan kehidupan kita kerana dia mesti mahukan yg terbaik dari diri kita pula:-)