Tuesday, January 25

Etika di Facebook.


Facebook kini boleh dikatakan merupakan satu laman sosial terpenting dan yang paling digunapakai oleh segenap lapisan masyarakat. Kucing jiran rumah aku sendiri pun ada profil Facebook tersendiri, begitu juga dengan nenek jiran aku tersebut. Benar! Makanya pengaruh Facebook sebagai alat-ganti komunikasi benar-benar telahpun menular ke atas kita semua.

Betapa kebergantungan kita terhadap laman sesawang sosial ini tersangatlah penting sehinggakan ada tutor aku menggesa agar menambah beliau sebagai kenalan agar beliau boleh membuat pengumuman tentang kuliah menerusi Facebook. Begitu juga dengan beberapa rakan aku yang mengunakan Facebook untuk menambahkan ‘downline’ untuk perniagaan MLM ataupun butik atas talian mereka.

Namun begitu, aku terpanggil untuk menulis entri ini berdasarkan observasi aku terhadap sebilangan kecil rakan-rakan dalam senarai Facebook aku yang aku fikir tidak begitu memahami konsep menjaga etika ketika berada di Facebook.


1. Menyalahgunakan ‘tag’ nama rakan.
Kita sedia maklum bahawa pengguna Facebook boleh men’tag’ rakan dalam senarai ketika hendak mengemaskini status masing-masing hanya dengan menekan aksara @ dan menunggu senarai rakan untuk keluar sebelum memilih mana-mana rakan yang hendak di’tag’ dan selepas itu kemaskini status itu akan turut terpapar pada profil rakan yang di’tag’ tersebut.

Aku fikir fungsi ini adalah salah satu ciri-ciri yang membikin Facebook berbeza daripada laman sosial yang lain. Ciri ini membolehkan kita membuat pesanan ringkas dan ingin memberitahu rakan yang di’tag’ itu secara terus, mirip menghantar SMS, berbanding dengan kemaskini status biasa yang dipapar pada ‘news feed’ yang boleh dilihat umum. Dengan kata lain, rakan kita tidak akan terlepas pandang daripada kemaskini status tersebut kerana dia telahpun di’tag’.

Namun ada di kalangan pengguna Facebook yang tidak menggunakan fungsi ini secara berhemah kerana men’tag’ rakan-rakannya sewenang-wenangnya. Antara kemaskini paling digemari adalah mengajak untuk turun makan, ucapan selamat pagi/malam, minta diteman dan sebagainya. Aku tidak begitu kisah kalau hanya aku yang di’tag’ tetapi wajarkah kalau anda di’tag’ bersama-sama dengan lima hingga enam orang lain dan seterusnya menyemakkan notifikasi anda?

Sekali-dua mungkin aku tidak begitu kisah, namun janganlah terlalu kerap sehingga menimbulkan kejengkelan pengguna lain. Pengguna Facebook haruslah peka terhadap sensitiviti pengguna lain. Mungkin ada yang tidak begitu menggemari di’tag’ secara beramai-ramai sebegitu. Antara faktornya mungkin topik yang di’tag’ itu tidak ada kena-mengena dengan dia, makanya sudah tentu dia akan rasa terganggu disebabkan kemaskini tersebut. Kalau hendak membuat diskusi antara lima hingga enam rakan terhadap sesuatu perkara (beberapa hari sebelum ini aku di’tag’ oleh rakanku untuk membincangkan tentang bagaimana hendak membantu rakan kami yang seorang lagi ini yang sedang ditimpa musibah), itu rasanya dibolehkan.

Memanglah orang dengan mudah menyuarakan: “Kalau tak suka kena tag, remove sajalah tag itu!” Tetapi kalau sekadar hendak ucap selamat pagi, ajak makan dan sebagainya, tak perlulah men’tag’ sebegitu ramai orang. Cukuplah sekadar mengemaskini status secara biasa, biar semua orang dapat membacanya. Fikirkan sama orang yang tidak di’tag’ ketika anda mengajak sebilangan rakan untuk turun makan bersama-sama, berkemungkinan besar mereka yang tidak di’tag’ itu akan berkecil hati atau tersinggung kerana merasakan diri mereka ‘tidak cukup penting/dihargai’ oleh pengguna tersebut. Fikir-fikirkanlah.


2. Membuat kemaskini setiap dua minit.
Aku akui suatu ketika dahulu aku agak ‘mabuk’ membuat kemaskini status di Facebook sehinggakan pernah dua kali disekat oleh pihak atasan Facebook sendiri kerana disaspek membuat spamming. Setelah menyedari betapa menjengkelkannya mengemaskini status setiap seminit berselang aku kini semakin kiran membuat kemaskini. Dalam sehari aku kira tidak sampai 10 kemaskini yang aku lakukan dan selalunya kemaskini yang aku lakukan itu aku akan pastikan sesuatu yang benar-benar signifikan atau penanda penting dalam hidup aku.

Kalau setakat hendak beritahu ‘Sedang makan nasi goreng. Sedaplah nasi goreng ni.’ rasanya tak perlulah beritahu kepada semua rakan-rakan anda. Memadailah anda seorang saja yang tahu betapa sedapnya nasi goreng tersebut; tidak perlulah juga kemaskini tentang setiap gerak-geri anda (lima minit yang lalu: ‘Sedang turun tangga hendak ke PTSL’, dua minit yang lalu: ‘Ramai betul orang di PTSL’ seminit yang lalu: ‘Pusing-pusing cari port hendak study di PTSL’, beberapa saat yang lalu: ‘Tak jadi study kat PTSL, balik Amin.’)


3. Menyertai kumpulan yang pelik-pelik.
Terdapat ratusan ribu kumpulan untuk hampir pelbagai citarasa dan keinginan pengguna Facebook. Ada di antarnaya sangat-sangat informatif dan berguna (seperti kumpulan ‘Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia’, ‘Malaysian AIDS Council’, ‘In Memory of Din Beramboi’, ‘Seksualiti Merdeka’) yang kerap memaparkan kemaskini tentang aktiviti-aktivit dan program-program khusus dan juga sebagai penghormatan terakhir terhadap tokoh/artis yang kita kagumi/sanjungi.

Namun, tidak kurang juga banyak kumpulan yang merepek-repek seperti ‘jangan nak terasa dengan status facebook tak tentu pasal’ dan juga ‘All those song lyrics I put as my status, have a meaning.♥’. hakikatnya apakah benefisi yang kamu dapat daripada menyertai kumpulan-kumpulan sebegitu selain daripada menyemakkan halaman profil anda sendiri dengan kemungkinan kemaskini-kemaskini yang bukan-bukan daripada moderator kumpulan tersebut. Ada di kalangan pengguna Facebook yang gemar menyertai kumpulan-kumpulan sebegini secara rawak berkata sebagai bantahan; “Itu statement yang hendak kami suarakan kepada semua pengguna Facebook lain.’

Ya, aku tahu. Itu sememangnya suara peribadi. Tetapi kumpulan ‘Dalam diam-diam saya suka tengok perempuan seksi dan bayangkan warna seluar dalam mereka’. Really? REALLY? Itukah statement yang hendak dipotretkan di halaman profil anda? Bahawa anda seorang pervert?


4. Menambah/Ditambah rakan secara pukat tunda.
Ada di antara rakan aku di Facebook yang aku perhatikan kerap benar bertambah jumlah rakannya. Dalam sehari kadang-kadang dia menambah lebih daripada 20 orang rakan baru yang aku jamin bukanlah dia kenali secara dekat (malah aku yakin benar ada di antaranya dia langsung tidak kenal!). Namun mengapa harus menambah sebegitu banyak rakan? Aku ada terbaca suatu kiraan statistik yang dilakukan bahawa majoriti pengguna Facebook secara lazimnya hanya berkomunikasi secara kerap dengan kurang daripada 10% daripada jumlah rakan-rakan mereka di Facebook. Ada benarnya statistik itu kerana aku sendiri yang mempunyai 550 rakan hanya berkomunikasi secara kerap dengan tidak sampai 30 orang rakan dalam satu-satu hari. Bayangkan pula kalau anda memiliki ribuan rakan dan hanya berkomunikasi secara kerap dengan 20-30 rakan pada satu-satu masa?

Bahana mempunyai sebegitu banyak rakan tersangatlah banyak. Pertamanya, lambakan kemaskini status daripada rakan-rakan lain sehinggakan anda akan terlepas baca status-status rakan-rakan anda yang lain. Pernah sekali rakanku berkecil hati kerana menyangkakan aku (dan yang lain-lain) tidak memberitahu tentang pembatalan temu-janji bersama seorang kenalan jauh yang baru pulang ke Malaysia dan menyalahkan kami kerana menyebabkan dia menunggu di KL Sentral secara sia-sia.

Keduanya, potensi untuk kemaskini status anda dikomen oleh orang-orang yang tidak dikehendaki tersangatlah tinggi, tambah-tambah lagi kalau kemaskini status anda berbunyi; ‘Bangun pagi hari ini, belakang terasa sangat sakit!’. Rakan-rakan yang sedia ada rapat dengan anda sudah semestinya sedia maklum terhadap sakit tulang belakang yang anda alami, tetapi adalah 700 orang ‘rakan’ anda yang lain tahu? Semestinya ada di antara mereka yang bakal menyangkakan bahawa sakit belakang itu merujuk kepada aktiviti malam anda (atau hal-hal lain yang tidak mahu aku huraikan di sini!)

Ketiga, oleh kerana mempunyai terlalu banyak kawan, makanya dinding privasi anda juga semakin menipis. Bayangkan kemaskini status anda dibaca oleh lebih 700 individu, dan ada di antara 700 orang ini telah tersalah tafsir kemaskini status anda dan menyebarkannya pula kepada sejumlah rakan-rakan mereka. Bayangkan pula kalau kemaskini status anda itu bersifat agak peribadi. Promulgasi yang berlaku sekaligus bakal memberi impak kepada privasi anda.

Secara jujur berapa ramai sangatlah individu yang begitu ambil pusing terhadap ciri-ciri keselamatan perlindungan kemaskini status dan profil yang dilaksanakan oleh Facebook. Sejak kebelakangan ini aku mula meneroka ciri-ciri keselamatan perlindungan kemaskini, gambar dan profil yang ada di Facebook dan telah mengambil langkah selamat untuk menghalang sebilangan kecil rakan-rakan di Facebook daripada baik melihat profil, membaca status, menghantar mesej mahupun melihat gambar-gambar aku selepas suatu insiden yang telah berlaku ke atasku.


Rasanya cukuplah aku membebel setakat ini. Kalau ada apa-apa yang hendak dibidas atau ditambah, sila tinggalkan komen. Terima kasih.

Mengenai Penulis Entri Ini :
shandye juga penulis untuk blog Monyet Merah Jambu Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Selasa dan di Twitter. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label shandye. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah S'petang Bersama Kamu: Bab - 18.

6 comments:

therosputih said...

pernah baca majalah cleo keluaran bulan bape tah, dah tak ingat, dia ceritakan psl beberapa jenis pengguna fb...

nak sentuh yang psl tag beramai2 tu...tensen jugak bila tgk email, beratus notifikasi masuk, jenuh nak mendelete nya...

kusut said...

skarang ni kat fb dah mula ada makhluk2 yg kita tak kenal add, which not really a bad thing, rupe2nye dan spread dakyah2 MLM atau most of them are actually Pyramid Schemes. oh annoying amat.

skarang ni aku dah mula delete news2 yg iklan produk supaya update yg lebih bermakna tak cepat sgt hilang.

Nurul Baiti said...

info yg bagus dan padat..mmg agak mengjengkelkan kalau kena tag pada status yg takde kaitan dgn diri ..kalau diremove kang katanya kita sombang macam2 :)

pasal grup tu pun mmg dah pelbagai salah satu darinya..kami suka kunyah ais bila dah habis makan (lebih kurang gitu) benda mcm tu pun bole di like..

tapi yer lah terpulang le pada individu masing2 yg penting ambik yg dari segi positif sahaja ..

^_^

shandye. said...

therosputih: sbb tu sy tak aktifkan kemaskini notifikasi lewat emel. takut serabut semak inbox.

kusut: stakat ni bergantung kpd plugins chrome/firefox utk halang iklan kat sblah kanan fb. kalau yg kat newsfeed mmg sy block manually. semak betul!

izfanora said...

ada pro & cons..

bygkan yer.. fb nie laman sosial.. sbb teu org wat ikut suka..

mcm sy, mls nk lyn dah fb nie.. :)

shandye. said...

Nurul Baiti: ada org ckp group tu melambangkan identiti org tu. tak gitu?

izfanora: jgn sampai delete akaun fb sudeyh. hahaha...