Dua tahun yang lalu, oleh kerana kami baru tiba di bumi yang asing, semangat untuk mengembara memang berkobar-kobar. Maka kami menaiki taxi dari tempat penginapan kami di Kaherah ke satu-satunya pusat membeli-belah yang berbaloi untuk dikunjungi bagi memulakan pengembaraan tersebut. Ya, semasa baru tiba, perjalanan ke pusat membeli-belah pun memang kami anggap sebagai sesuatu yang penuh cabaran dan dugaan.
Aku duduk di hadapan, bersebelahan pemandu taxi. Perjalanan ke tempat dituju agak normal, walaupun masa tu ternganga bila tengok jalan yang ada empat lorong boleh muat lapan lorong kereta, tapi jika dilihat kembali, ia merupakan perjalanan yang normal. Tapi keadaan mula berubah bila jalan mula sesak, jarak antara kereta hanya beberapa inci, pemandu mula hilang sabar ditambah udara musim panas yang hangat menusuk hidung. Mulalah pemandu melakukan stratergi tusuk-menusuk untuk bergerak kehadapan. Dan pasti bila kereta dah mula padat, pertelingkahan antara pemandu mula berlaku, begitu juga pemandu taxi yang aku naik tu mula bergaduh dengan kereta BMW hitam di sebelah kanan.