Selamat pagi semua...
Saya nak kongsi tentang sesuatu hari ini. Coretan ini hanyalah sekadar luahan hati dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita-berita menyayat hati seperti kemalangan jalan raya. Tersentap seketika melihat kemalangan dahsyat yang meragut nyawa. Pilu hati melihat kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa. Hakikat yang perlu diterima walaupun tanpa kerelaan hati, orang tersayang telah pergi buat selama-lamanya. Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan? Biasanya, semua orang akan menuding jari kepada pemandu.
Kemalangan jalan raya disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya, keadaan bentuk muka bumi atau jalan raya itu sendiri, cuaca, binatang yang tiba-tiba muncul dan banyak lagi. Namun penyebab utama adalah sikap pemandu itu sendiri. Contohnya, mementingkan diri sendiri dan memandu dengan cuai. Nak kata tak masuk kelas memandu, lesen cantik berkilat. Kawan saya selalu cakap, nak elak macam mana...Kita dah patuh dengan peraturan, siap berhati-hati dan selalu ‘alert’ ketika di jalan raya tapi disebabkan oleh sikap segelintir manusia yang memandu ikut suka hati akhirnya yang tak bersalah ikut menjadi mangsa.
Pihak berkuasa pun dah buat segala yang terdaya supaya semua orang ikut peraturan tapi statistik kemalangan tak pandai turun-turun. Dimanakah silapnya?
Semua orang mempunyai agama dan kepercayaan masing-masing. Kita percaya ajal dan maut di tangan Tuhan atau malang itu tidak berbau. Tetapi rasanya tidak salah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada ditimpa kemalangan dan seumpamanya.
Satu perkara lagi, berkenaan dengan gambar-gambar lokasi tragedi. Saya terserempak dengan beberapa gambar (tidak kira lah di media elektronik mahupun blog) yang bagi saya agak menggangu perasaan. Dimanakah rasa hormat kita sebagai manusia apabila kita (antara sedar atau tidak) memaparkan tubuh-tubuh yang sudah tidak bernyawa sebegitu rupa. Maksud saya, situasi dimana tubuh yang berkecai bersepah merata tempat atau kain terselak sana sini. Bagi pihak berkuasa, mungkin boleh diterima kerana selalunya gambar yang diambil untuk tujuan siasatan. Tapi bagi kita, tidak wajar rasanya memaparkan gambar yang sedemikian rupa walaupun atas alasan ‘sharing’.
Sesetengah orang mungkin berkata, ini blog saya...suka hati saya lah nak buat apa. Cuba bayangkan jika ahli keluarga atau orang tersayang anda maut dalam kemalangan dan ‘gambar tragik’ yang diambil menjadi tatapan jutaan orang. Apa perasaan anda? Nak kongsi gambar boleh tapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai kita mengaibkan maruah mangsa dan keluarga mangsa. Saya bukan lah orang yang sempurna, bijak pandai jauh sekali. Sekadar mengingatkan sesama manusia...
Terima kasih kerana sudi membaca. Sekali lagi, maaf dipinta jika ada yang terasa hati. Ingatan tulus ikhlas dari saya, berhati-hatilah ketika memandu dan jangan terlalu mengikut perasaan. Renung-renungkan dan selamat beramal. Semoga hari anda ceria. Adios...