Tuesday, December 28

SIRI CERITA PENDEK: Bengang

Nota: Sebenarnya cerpen ini adalah usaha aku untuk disiarkan dalam antologi Orang Macam Kita namun tiada rezeki. Tak apalah. Aku sengaja siarkan cerpen ini kembali selepas ia sudah disiarkan di SINI sebagai pembuka entri sulungku di 100penulis. Harap ada yang sudi membacanya. Terima kasih. 


Aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh bersetuju dengan cadangan engkau untuk pindah masuk dan tinggal serumah dengan aku. Kau dan aku sedang duduk semeja, menjamah makan malam di tengah-tengah restoran mamak di bucu jalan, apabila perbualan yang dari tadi berkisar tentang hal kerja tiba-tiba membelok drastik membicarakan tentang masa depan hubungan kita bersama. Tiba-tiba sahaja kaubilang mahu tinggal serumah, lebih banyak masa bersama untuk lebih merapat katamu.


Kita bukannya tidak saling mengenali; berpacaran sudah hampir dua tahun, dan sepanjang perjalanan hubungan kita aku tidak lihat tinggal serumah itu sebagai suatu kemestian. Tidak tinggal sebumbung tidak bermakna kita tidak intim. Aku dan engkau kerap benar bertemu. Hujung minggu memang mesti keluar bersama. Berpiknik, keluar makan di tempat yang agak jauh dari bandar atau mungkin juga jalan-jalan di taman pusat beli-belah. Kadang-kadang kalau kebetulan kau pulang awal atau berada di Bangi, kita akan makan tengah hari bersama.  

Kalau cuti agak panjang kita juga telahpun bersetuju untuk bergilir-gilir pulang ke kampung masing-masing. Paling tidak kita punya masa lenggang untuk bersendiri atau keluar bersama rakan-taulan. Cuti raya Haji lepas kita bersetuju untuk pulang ke kampung aku di Pulau Pinang sebab mak aku ada buat kenduri korban. Lagipun keluarga aku dan engkau sudah bukan orang asing. Rasanya mereka sudah tahu tentang kita, cuma mereka sendiri yang membuat keputusan untuk diamkan diri. Kita sudah besar, sudah tanggung dosa dan hidup sendiri; mungkin sebab itulah mereka tidak ambil peduli. Suatu kemujuran mereka tidak pula menolak dan mencemuh aku, memandangkan aku dan kau memang ternyata rapat. Kalaulah aku dilahirkan sebagai perempuan mesti mak kau sudah bising-bising agar kau lekas melamar aku, bukan?

Jika tidak sempat luangkan masa bersama di hujung minggu, aku dan kau akan pastikan untuk bertemu selepas waktu pejabat walaupun hanya duduk bersembang di kafe sisi jalan, ditemani dua cangkir kopi panas dan sepotong kek yang dikongsi bersama. Jadi sudah jelas isu intimasi itu tidak timbul di sini. Makanya aku tidak faham mengapa perlu kita tinggal serumah kalau sudah kerap benar bertemu saban waktu?

Sejak kau pindah duduk serumah dengan aku, sebenarnya banyak hal yang sudah kau buat aku bengang. Contoh paling mudah katil di bilik tidur. Aku sudah sedia selesa dengan kedudukan asal katil itu di sudut bilik, bersebelahan dengan tingkap, membuat ia sentiasa terhindar dari cahaya matahari tatkala pagi hujung minggu dan aku berhajat untuk tidur sehingga tengah hari menjengah. Kau kata katil tidak elok letak di situ, dan kau sendiri yang alihkan ia agar kepalanya pada tingkap. Kau masukkan rak buku dan meja tulis dari rumah lamamu ke bilik tidur, dan alihkan meja kerjaku yang sudah sedia ada di situ ke bilik sebelah. Semuanya kau laksanakan ketika aku tiada di rumah kerana menghadiri kuliah di kampus.

Demi untuk mengelakkan konfrontasi, aku akur dengan kehendak kau. Lihat, betapa sayangnya aku pada kau sehingga aku sendiri tidak membantah sedangkan aku sebenarnya amat marah terhadap tindakan kau. Bayangkanlah, aku tidak lagi boleh menikmati tidur lebih masaku. Jam sembilan pagi matahari sudah menyimbah tepat ke muka lewat tingkap, walaupun sudah ditabiri langsir. Panas! Kau pula sengaja kuakkan dan ikat langsir awal-awal pagi. Natijahnya, aku tidak boleh tidur lewat hingga ke tengah hari. Bila aku keluar dari bilik mengomel-ngomel geram tidak dapat tidur dengan selesa kau buat muka comel dan pelawa aku sarapan bersama di dapur. Geramnya!

Kehidupanku sebagai seorang pelajar sepenuh masa membikin jadual harianku tidak menentu. Usai kuliah, pastinya aku ada sesi diskusi bersama rakan-rakan kelas dan mungkin juga mahu ke perpustakaan atau bertemu pensyarah dan tutor. Aku akan pastikan kerja-kerjaku beres sebelum aku pulang ke rumah kerana aku hanya mahu berehat dan mengemaskini nota-nota kuliah bila berada di rumah. Tetapi sepulangnya aku ke rumah, rasa bengang aku terhadap kau datang bertubi-tubi tanpa diminta. Pakaian kotor sebakul tidak dibasuh sedia menanti, sedangkan bukan susahpun hendak membasuh baju kerana mesin basuh pemberian Along sudah tersedia di ruang belakang rumah.

Pekerjaan kau sebagai jurugambar majalah memaksa kau bawa pakaian lebih sentiasa kerana tugasan luar. Dua-tiga hari selepas itu barulah nampak kelibatmu di rumah. Kau yang pulang kerja sekitar jam enam punya banyak masa untuk membasuh dan menyidai pakaian, dan mungkin juga mengemas rumah dan masakkan makan malam; tetapi apa yang kau buat hanya sedap-sedap duduk di sofa sambil meluncur saluran di Astro. Selamba saja kauminta aku basuhkan baju-baju kotor dari beg pakaianmu. Memang sengaja mahu buat aku bengang. Sekali dua tidak mengapa, tetapi kalau sudah setiap kali kau pulang dari sesi fotografi kaubuat begitu memang bisa bikin darah aku naik.

Walau bagaimanapun, aku berjaya kawal amarahku dan tenangkan diri. Aku enggan bergaduh, rasa sayang yang tersemat di dalam diri ini terlalu menebal untuk aku singkirkan begitu sahaja. Sebenarnya aku sudah serik dan bosan untuk mencari cinta baru. Oleh itu sebaik sahaja aku bertemu dengan kau dan mulai merasakan keserasian itu ada, cepat-cepat aku putuskan bahawa aku mahu hubungan ini kekal. Aku kutip semua pakaian kotor dari dalam bakul dan juga beg pakaian kau, dan masukkan ia ke dalam mesin basuh.

Hairannya, sebaik sahaja kau dengar aku berbuat sebegitu cepat-cepat kaudatang dan ambil sepasang Levi’s milik kau dari dalam mesin basuh itu. Aku sangat tahu bahawa 501 berpotongan lurus itu sudah berminggu-minggu, malah mungkin berbulan-bulan, tidak dibasuh dan sudah mula mengeluarkan bau semacam. Memang memeningkan kepala mengapa kau tidak mahu basuh seluar jeans itu dan ada beberapa insiden di mana kau sengaja sorok seluar itu supaya aku tidak dapat membasuhnya. Pernah juga aku bertanya tetapi kau hanya menjawab dengan selorek senyuman dan kucupan di pipiku. Aneh!

Kau kerja di Shah Alam, sedangkan aku belajar di Bangi dan kita pula tinggal di Kajang. Aku ke kelas dengan skuter milik Along yang sudahpun berpindah hak milik kepadaku, walhal kau pula memandu Honda City untuk ke tempat kerja. Namun satu perkara yang membikin aku keliru dan bengang adalah mengapa sejak kau berpindah tinggal bersamaku kau tidak lagi memandu ke tempat kerja. Sebaliknya kau memutuskan untuk menumpangku ke stesen KTM dan seterusnya mengambil tren pagi untuk ke Shah Alam. Kereta kau pula terbiar di parkir rumah. Kalau hujung minggu tiba dan kau mahu bawa aku bersiar-siar barulah kau pandu kereta berona biru gelapmu itu, hal-hal lain jangan haraplah. Cuma sesekali kalau hari hujan baru kau pandu kereta ke tempat kerja, itupun jangan haraplah hendak tumpangkan aku ke universiti. Katamu, kau harus segera ke lokasi penggambaran, ataupun nanti takut tidak ada masa untuk menjemputku pulang sedangkan aku sudah berkali-kali menjelaskan bahawa aku boleh tumpang rakan-rakan untuk balik ke rumah. Memang sengaja mahu menggugat ceria pagiku.

Satu lagi perkara yang membuat aku bengang terhadap kau adalah sejak kita tinggal serumah aku tidak lagi terus mendapat semua surat-suratku dari peti surat seperti kebiasaannya. Sebaliknya, kau yang kumpul kesemua surat yang ada dan hanya serahkan kepadaku pada setiap Sabtu. Kalau ada bil yang sampai, dengan selamba kaubilang sudah kau jelaskan bayarannya dan tunjukkan penyatanya sebagai bukti. Aku bengang sebab aku merasakan sejak kau tinggal bersama privasiku sudang ditendang keluar lewat tingkap. Timbul pula rasa syak wasangka takut-takut kau sudah baca surat-surat peribadiku (walaupun pada hakikatnya tidak ada surat sebegitu melainkan bil-bil belaka!). Manalah hendak tahu kalau ada mana-mana abang angkat aku yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba mengutus khabar lewat gaya lapuk bernama surat cinta. Takut juga kalau kau terbaca dan tidak semena-mena perang meletus dan aku belum bersedia untuk melihat kau melangkah pergi dan tidak lagi menoleh.

Namun aku paling bengang terhadap kau apabila Tuhan memutuskan bahawa Dia lebih menyayangi kau dan menjemput kau terlebih dahulu, meninggalkan aku kembali bersendiri. Dua tahun bersama kau terasa terlalu sekejap. Sebulan tinggal bersamamu sebagai suami dan ‘suami’ ternyata merupakan perancangan rapi tanpa disengajakan olehmu; suatu langkah bayi daripadamu untuk melakarkan rasa kasih dan sayang yang bukan temporari di hatiku.

Seminggu sebelum pemergian engkau, aku dikejut secara lembut di tengah malam olehmu. Bibirmu terasa hangat bersentuhan dengan kulit bahuku yang terdedah, terasa seperti ada getar listrik menjalar terus ke pangkal hatiku. Kauminta aku buka mata dan dongak ke atas. Lewat tingkap yang terbuka luas itu, aku dapat lihat malam berona hitam pekat ditabiri gugusan bintang cerah persis sekuin-sekuin bergemerlapan. Indah!

“Nampak tak bintang-bintang tu?” Soalmu, separuh berbisik ke telingaku. Nafas hangatmu membuai-buai leherku. Aku angguk. “Cuba awak kira satu-satu.”

“Banyak… tak mungkin boleh saya kira satu-satu!” Balasku.

“Mestilah! Sebab sebanyak itulah bilangan hari saya mencintai awak.” Kau berkata. “Awak takkan mampu bilang berapa lama saya mencintai awak sebab ia terlalu banyak untuk dihitung. Itu maknanya saya sayang dan cintakan awak buat selama-lamanya.”

Aku akui kata-katamu itu membuat air mataku bergenangan. Perasaan aku ketika itu persis seperti lelaki yang baru memenangi loteri. Jackpot! Gembira tidak terkata. Aku juga mulai menyedari motif sebenar kau posisikan kepala katil menghadap tingkap. Aku tidak lagi tidur lebih masa, aku selalu bangun awal dan tidak lagi terlepas solat Subuh. “Walaupun kita macam ni, jangan sekali-kali tinggalkan solat sebab ia tiang agama. Jadi begini tak semestinya amalan baik kita tak diterima Tuhan.” Kata kau suatu pagi sesudah kita solat Subuh berjemaah. Kadang-kadang kalau aku betul-betul beruntung, kau hidangkan aku sarapan di atas katil: penkek lengkap dengan curahan madu, satu mug besar kopi panas dan juga potongan buah-buah segar.

Mulai malam itu, walaupun tanpa digerakkan kau aku pasti akan terjaga sejenak dan menatap bintang-bintang lewat tingkap kepala katil itu, senyum sendirian, peluk tubuhmu erat-erat dan perlahan-lahan kembali diselimuti tidur.

Dua hari selepas kau selamat dikebumikan, barulah aku mempunyai cukup kekuatan untuk pulang ke rumah kita. Jujur aku jelaskan di sini selepas menelan hakikat bahawa kau sudah tiada lagi di dunia ini, aku merasakan seperti hidupku sendiri juga sudah sampai ke noktahnya. Tubuh terasa lemah seperti tiada lagi motivasi dan motif untuk aku terus hidup. Selama inipun aku hidup kerana kau, dan hanya untuk kau. Aku pulang ke rumah, duduk di bucu katil, memandang sekeliling dengan perspektif yang berbeza. Sedang mataku menerawang, melompat dari satu objek ke objek yang lain, aku terpandang beg kerjamu. Aku fikir pasti seluar Levi’s itu masih berada di dalamnya kerana sudah puas aku mencari di sekitar rumah namun tidak berjumpa dengannya.

Sangkaanku tepat. Seluar jeans itu terlipat elok di dalam beg itu. Perlahan-lahan kukeluarkan dan kudekatkan pada dada; serta-merta rasa rindu serta syahdu datang menerpa diri. Aku belum bersedia untuk melayan perasaan itu, dan air mata segera berlinangan di luar kawalanku. Sedang aku menggenggam kemas seluar itu, jemariku merasakan seperti ada sesuatu di dalam poketnya. Bila kuseluk dan keluarkan isinya, alangkah terperanjatnya aku apabila menjumpai keratan tiket wayang yang sudah berusia dua tahun. Warnanya juga sudah kekuningan dan sudah mulai kernyai. Aku dekatkan keratan tiket wayang itu ke bibir, mengucupnya lama-lama. Keratan tiket itu menjadi bukti; itulah filem yang kita tonton bersama-sama sebelum aku tidak sengaja tertumpahkan soda ke seluarmu – tahulah aku mengapa kau begitu berkeras enggan seluar itu dibasuh. Kau tidak mahu memori hari itu luntur jika dibasuh, dan kau masih lagi simpan keratan tiket wayang itu agar kau boleh selukkan tanganmu, menyentuh keratan tiket wayang itu dan ingatkan diri kau tentang hari tersebut.

Aku selongkar lagi beg kerjamu. Beberapa brosur pakej peranginan dan juga kertas-kertas dengan tulisan tanganmu kutemui dari poket sisi. Kertas-kertas itu merupakan rangka kasar perbelanjaan bulananmu dan didapati bahawa kau mulai keluarkan dan menyimpan sejumlah wang daripada gajimu dalam satu akaun lain. Ada nota ringkas dengan tulisan tanganmu yang kecil dan bulat-bulat di bawah rangka kasar bulan ini: Dana dah cukup. Bulan depan boleh ajak Sayang ke Jepun.

Air mata kembali bergenangan di pelupuk. Aku datang daripada keluarga yang tidak senang. Ibuku satu-satunya tonggak keluarga setelah ayah meninggal dua belas tahun yang lalu, membikin aku memilih untuk berkorban apa saja untuk menyenangkan keluarga. Impian remeh seperti mahu menaiki kapal terbang hanya tinggal angan-angan kosong buatku. Ya, sebelum ini aku ada menyuarakan rasa cemburuku terhadap kau sebab kau berpeluang menjelajah ke setiap pelosok dunia hanya kerana kau seorang jurugambar. Terkini, bulan Mei lepas setengah bulan kau di Tokyo kerana terlibat dalam projek fotografi komersial sebuah koglomerat besar kosmetik antarabangsa di sana.

Bukan apa, aku kepingin benar pengalaman menaiki pesawat. Mengetahui bahawa dalam diam kau sedang usahakan untuk membolehkan aku mengecap impianku merupakan suatu yang tidak terlintas di benakku. Mengapa kau harus sorokkan perancanganmu itu daripada pengetahuanku? Hadiah? Kejutan? Token cintamu terhadapku? Apapun jawapanmu, kini aku tahu mengapa kau berkeras benar saban hari mahu tumpangi aku ke tempat kerja.

“Seronok kan? Setiap pagi dapat dengar jantung awak berdegup bila saya dekatkan telinga kat belakang awak.” Itulah ayat yang selalu kaututurkan tanpa letih setiap pagi ketika kita di atas skuter, bersiap-siap mahu ke tempat kerja. Aku tidak pernah peduli sebelum ini, tetapi apabila memainkan semula kata-katamu itu aku tahu bahawa kau benar-benar menggunakan sepenuhnya masa yang ada bersamaku, seolah-olah kau tahu kau tidak akan lama bersamaku.  

Matahari makin merendah di horizon dan mula main sorok-sorok di celah-celah bangunan tinggi. Bilah-bilah cahayanya yang sedaya-upaya datang menerjah akhirnya masuk juga lewat tingkap bilik tidur ini. Aku yang dari tadi duduk di bucu katil bangun menuju ke tingkap. Rasanya aku tidak lagi bernafsu untuk baring di sini dan mendongak untuk menatap bintang-bintang yang bergantungan nanti. Hati ini masih tidak cukup kuat untuk menerima ketiadaan kau di sebelahku.

Ketukan di pintu depan menarik tali halus yang mengikat lamunanku yang telah terbang entah ke mana kembali ke tanah nyata. Salam bersambut dan pintu dibuka. Khairul tersengih di muka pintu, di tangannya tergenggam beberapa pucuk surat pelbagai saiz. Aku kenal lelaki botak di hadapanku ini, dia rakan sekerja kau. Dulu aku pernah cemburu gara-gara menyaksikan betapa rapatnya kau dan dia. Tetapi setelah kau berkali-kali yakinkan bahawa kau dan dia hanya kawan, akhirnya aku akur dengan kata-katamu itu.

“Hai.” Ujar Khairul sepatah dan terus sahaja masuk. “Aku datang nak ucapkan takziah. Aku tahu mesti susah nak terima kenyataan yang Razif dah tak ada, kan?” Aku yang tidak bersedia terus dirangkul dan dipeluk kemas oleh Khairul, belakangku ditepuk-tepuk kemas. Kami bergerak ke ruang tamu.

Aku biarkan dia duduk dan aku terus ke dapur. “Kau nak air? Aku boleh buatkan kopi.”

Thanks, tapi aku singgah kejap aje. Aku kena pergi KL lepas ni.”

“Oh.” Langkahku terhenti. Aku berpatah balik dan duduk di sebelah dia.

“Sebenarnya, satu lagi hajat aku ke mari adalah sebab nak serahkan surat-surat Razif di office. Aku dah minta orang kemaskan meja kerja dia. Esok-lusa insya-Allah aku datang lagi bawakan barang-barang dia.” Surat-surat di tangannya bertukar tangan. Aku belek satu persatu. Semuanya dialamatkan kepada Encik Razif bin Marzuki.

“Terima kasih. Eh, by any chance kau tahu tak kat mana Razif simpan semua surat-surat ke rumah ni?”

“Hei, tinggal serumah dengan teman lelaki sendiri pun tak tahu surat letak kat mana?” Aku tidak pasti nada suaranya sarkastik atau betul-betul. Aku hanya jungkit bahu dan tersengih sendirian. Khairul tunding jari ke arah kabinet yang menempatkan peti televisyen bertentangan dengan tempat duduknya. “Dia letakkan semua surat kat situ.”

Dari dalam laci paling bawah kabinet itu aku jumpa sejumlah surat-surat yang dialamatkan kepadaku diikat dengan gelang getah berwarna hijau. Aku bawa surat-surat itu dan kembali duduk di sisi Khairul. “Sebenarnya Razif dah paksa aku untuk janji tak beritahu kau tentang hal ni.” Ujar Khairul.

“Apa dia? Cakaplah.” Balasku, separuh menggesa.

“Uhm…”

“Cakap!” Aku capai jari-jari kontot milik lelaki kacak yang sedang duduk di sebelah aku itu, tetapi cepat-cepat pula melepaskannya kembali. Tersentak! Terlupa untuk sesaat bahawa aku tidak pernah menyentuh tangan mana-mana lelaki selain jemari kasar milik kau. Serta-merta perasaan bersalah datang menikam bagai belati. Khairul berdehem, kosongkan tekaknya dan mungkin otaknya sekali. Mungkin juga dia mahu ingatkan aku bahawa dia tidak seperti aku dan kau.

Dia bangun. Dari kocek dada kemejanya lambat-lambat sebatang rokok dikeluarkan. Tanpa meminta izin, rokok di celah bibirnya dinyalakan. Dia hisap dalam-dalam sambil memicit-micit kepalanya. Aku tunggu, apalah yang bakal dituturnya. Aku capai asbak dari bawah meja dan letakkannya di atas meja. Di dalam rumah ini hanya kau seorang saja yang merokok, itupun jarang-jarang dan hanya kalau aku tiada di rumah. Aku tahu kau tahu aku tidak suka bau rokok.

“Cuba kau buka mana-mana satu sampul surat yang ada.” Akhirnya Khairul bercakap, memecah kesunyian yang mulai membengkak di antara aku dan dia. Secara rawak aku capai salah satu sampul surat.. Dengan cermat aku koyakkan tepinya dan keluarkan kandungannya. “Kau tahu kan yang Razif selalu bayarkan semua bil-bil kau; Astro, air dan elektrik?” Aku angguk. “Well, ini semuanya cuma penyata bil dan telahpun dijelaskan.”

“Habis, apa motifnya?”

“Cuba tengok betul-betul dalam surat tu.”

Rupa-rupanya ada lagi sehelai nota kecil di dalamnya, kertas kuning pucat berlipat dua dengan sepotong ayat ringkas: “Saya sayang awak. Semuanya saya dah bereskan. Belajar sungguh-sungguh.”

Aku pandang Khairul, dan dia juga pandang aku. Matanya tidak mengeluarkan apa-apa jawapan, begitu juga dengan bibirnya yang terkatup rapat. Aku buka lagi satu sampul surat, sekali lagi aku ketemu dengan sehelai nota kecil. Tetapi isinya berbeza: “Walaupun jauh dan tidak mungkin bersama, awak selalu ada dalam diri saya.”

Anehnya aku seperti dapat rasakan bahawa kau sudahpun meramalkan yang kau bakal meninggalkan aku. Aku tahu, semua yang bertemu suatu ketika pasti akan berpisah juga. Rasa bengang itu masih lagi terasa, namun aku tahu perasaan marah ini adalah kerana aku terlalu sayangkan kau dan bukannya kerana aku membenci apapun yang telah kau lakukan ke atasku selama ini.

Mataku berkaca, tanganku terketar, dan nota itu terlepas dari pegangan.

Mengenai Penulis Entri Ini :
shandye juga penulis untuk blog Monyet Merah Jambu Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Selasa dan di Twitter. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label shandye. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah CerTot #02: Secangkir Kopi Bersama Dia.

6 comments:

r.k said...

syahdu saja cerpen ni .

hargailah apa yang luols ada sementara ada . live life the fullest !

cik elina said...

sedih cita ni

;(

therosputih said...

hei...aku pernah bace satu cerpen, jalan cite lebih kurang sama je ngan yang ni, bace kat fb...
bn dan pas dalam satu sampul

shandye. said...

r.k = yup. betul tu. kalau dah ada org sudi sayang kita, hargailah dia selayaknya...

cik elina = thanks sbb sudi baca. really appreciate it...

therosputih = cerpen ni dah lama aku tulis utk salah satu kelas literature aku. saja edit sikit utk sesuaikan dgn requirement submission. apa2pun, thanks sbb sudi baca.

anyss said...

Salam,
Ada tak lagi lelaki macam ni? nak pi ngoratlah ;)

Tahniah!


Nak Sangat Trafik Tulis Je Blog Pornografi

humbleyat said...

wah..mmg syahdu..:-)
thumbs up..