Friday, December 31

Pensyarah Itu Tugasnya Bukan Hanya di Dewan Kuliah Sahaja

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Apa khabar para editor dan pembaca 100 penulis.


Agak lama saya tidak mampu menulis entri di sini. Kesibukan dengan tugas-tugas di universiti menyebabkan masa saya agak terbatas. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa yang para pensyarah mereka lakukan sepanjang musim cuti semester. Mahasiswa sedang bercuti, jadi pensyarah mereka sedang buat apa?

Sebenarnya, pada masa para mahasiswa sedang bercuti setelah menduduki peperiksaan akhir semester, pada masa itulah para pensyarah sedang mengejar waktu. Pertama, mereka perlu menanda dan berikan markah kepada setiap tugasan dan skrip peperiksaan pelajar. Masa sangat terhad, hanya dua minggu sahaja. Pada masa inilah pensyarah mereka perlu bersekang mata menyelesaikannya.


Siap tanda dan berikan markah, mereka perlu pula hadiri mesyuarat lembaga peperiksaan di peringkat pusat atau jabatan, seterusnya pada peringkat fakulti pula. Bagi setiap markah pelajar yang bermasalah dan mendapat markah kurang daripada c-, pensyarah berkenaan perlu menjelaskan secara terperinci mengapa markah pelajar berkenaan sangat rendah. Setelah disahkan dalam kedua-dua mesyuarat ini, barulah markah berkenaan akan dijana di bahagian akademik dan dihebahkan kepada pelajar.

Pada masa semua mahasiswa sedang bercuti juga, para pensyarah mereka mengambil peluang ini untuk menghadiri dan membentangkan kertas kerja dalam seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Jadi, tugas sebenar seseorang pensyarah itu bukan sahaja di dewan kuliah semata-mata. Mereka juga perlu;
• Menulis dan menerbitkan dalam jumlah tertentu dalam bidangnya
• Melakukan khidmat masyarakat seperti perundingan
• Membuat penyelidikan
• Pengajaran di dewan kuliah
• Menghadiri dan bentangkan hasil kajian
• Membuat jaringan dengan agensi tertentu


Menulis dan menerbitkan artikel dan buku sebagai usaha untuk menyebarkan ilmu dan kepakaran mereka. Khidmat masyarakat juga perlu dilakukan antaranya seperti memberi ceramah, kursus motivasi, menjadi hakim dan pengadil untuk acara tertentu, melakukan penyelidikan dalam bidang mereka sebagai usaha menambahkan kepakaran. Hasil kajian berkenaan akan dibentangkan dalam pelbagai seminar, seterusnya diterbitkan. Mereka juga perlu membuat jaringan dengan agensi tertentu sebagai salah satu cara perkongsian maklumat.

Sekiranya anda beranggapan bahawa pensyarah anda hanya bertugas semasa berada di dewan kuliah sahaja, anggapan itu sangat tidak tepat. Semua yang saya terangkan di atas belum lagi termasuk tugas-tugas seliaan pelajar, hal-hal pentadbiran sekiranya pensyarah berkenaan mempunyai jawatan tertentu seperti ketua Jabatan, Dekan dan sebagainya. Juga tidak termasuk hal-hal pengajaran dan pembelajaran pelajar jarak jauh atau luar kampus.

Kalau diikutkan, sangat penat menjadi seorang pensyarah. Namun, tanggungjawab untuk bangsa dan negara perlu juga dipikul.

Selamat menyambut ketibaan tahun baru. Moga-moga tahun yang baru itu memberi semangat baru kepada anda meningkatkan prestasi hidup.


Mengenai Penulis Entri Ini :
Maharam Mamat juga penulis untuk blog Dunia Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Jumaat. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label Maharam Mamat. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah Pengumuman Perpindahan Tempat Kuliah .

12 comments:

therosputih said...

sama konsep dengan hidup guru, mereka yang bukan guru selalu label jadi guru kerja separuh hari, pukul 1 or 3 dah boleh balik, tp itu semua hanya pada kertas sahaja...hakikatnya, hanya guru yang mengetahui...

lebih2 lagi cuti sekolah, jangan ingat cuti sekolah, guru pun cuti sama mcm pelajar...

tp guru selalu dilabel sebegitu...

humbleyat said...

saya masih bercita2 menjadi pensyarah, tapi sy takde kekuatan untuk mendidik..

mungkin kepakaran sy lebih di bidang lain:-)

Fina Sophie said...

btul tu. once i discovered ttg kerja pensyarah yg sbnrnya, wow.. respect lah. :)

Pert Doherty said...

target org skg jd pnsyarah sebab nak didik ke? hhahaha

last2 makan gaji buta... pnt woo berkerja menghadap kerenah manusia.. banding kerja menghadap mesin..

zahidah dihaz said...

dulu saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah...tapi selepas saya sendiri menjadi mahasiswa saya merasakan tugas pensyarah itu bukan sesuatu yang mudah....ianya sama juga seperti tugasan guru....jadi saya telah menukar cita-cita saya kepada engineer.... ^_^
apa-apa pun terima kasih kepada semua guru-guru dan pensyarah yang pernah mengajar dan mendidik saya selama ini....

New enter: Jom, Kembali ke sekolah

anyss said...

Salam,
Semua kerja di dunia ni memang ada bidang tugas yang tersendiri. Jadi jangan pandang rendah dengan kerja orang lain walaupun orang tu hanya mak cik klener. Bila kita tahu macam mana kerja orang lain, baru insaf skit betapa mudahnya kerja kita ;)

Nak Sangat Trafik Tulis Je Blog Pornografi

maharam said...

Ros Puteh: Kalau tidak terlibat terus dalam bidang itu, kita tak tahu. Sebelumnya, kita hanya dengar benda-benda yang baik dan menarik je dalam bidang tersebut. Bila dah berada dalam bidang tu...baru kita tahu

maharam said...

Hubbleyat: Cita-cita itupun dah jadi kekuatan. Carilah sesuatu yang KUAT untuk kita pegang bila berada dalam sesuatu bidang. Dan, ikhlas juga.

Selebihnya, boleh dipupuk, boleh belajar...

maharam said...

Fina: kerja lain pun kena kagum juga...ahli bomba, pekerja pembersih bandaranpun ada peranan yang besar juga

maharam said...

Doherty: Terpulang kepada individu. Kalau rasa nak popular, jadi artis je, sebab pensyarah tak akan popular kecuali kes-kes tertentu.

Kalau niat tak betul, memanglah suka makan gaji buta. Tapi kalau niata kera ALLAH, kerja tukang sapu pun akan sentiasa ingat tanggungjawab bila kerja.

Bukan bermakna semua pensyarah tu begitu niatnya, tetapi tidak juga bermakna SEMUA pensyarah tu makan gaji buta.

maharam said...

Zahidah: Kalau rasa tak mampu nak pikul, lebih baik beralih ke arah yang lebih anda mampu beri dokongan. Barulah boleh kerja dengan ikhlas selain kerja untuk dapatkan rezeki.

Nanti tak bertambahlah pensyarah-pensyarah yang hanya nak glamer dan makan gaji buta je ;)

maharam said...

Anyss: tanpa mak cik klener, bilik air di Malaysia tak mampu kita nak masuk. Sangat besar jasanya itu