Friday, November 26

Mari Berpantun

Assalamualaikum, Salam Sejahtera. Harapnya semua sihat walafiat semua ya…


Kita terdedah dengan penggunaan pantun Melayu sejak kecil lagi. Walaupun tidak berpantun setiap hari, setidak-tidaknya kita pernah dengar juga lagu-lagu Melayu yang menerapkan pantun di dalamnya seperti lagu “Pantun Budi”. Atau sekurang-kurangnya kita pernah didedahkan dengan filem Melayu lama, Sri Mersing;

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba terbuang lalu.

Atau juga, mungkin anda peminat Jins Shamsuddin apabila berpantun dan menyanyi dalam filem Panca Delima dan Gurindam Hati. Saya sukakannya. Bahasa yang digunakan sangat menarik. Dalam Filem Panca Delima umpamanya, penuh dengan pantun seloka dan lagu-lagu merdu, sangat sesuai untuk dijadikan Alat bantu Mengajar (ABM) kepada guru Bahasa Melayu.







Lirik lagu “Pantun Budi” ini saya turunkan agar anda boleh kesan nilai-nilai pantun yang ada di dalamnya. ramai penyanyi Malaysia dendangkan lagu ini seperti Tan Sri Dato' SM Salim dan Dato’ Siti Nurhaliza.

Pantun Budi

Kalau menebang
Kalau menebang si pohon jati
Papan di Jawa, aduhai sayang
Papan di Jawa dibelah-belah,
Kalaulah hidup
Kalaulah hidup tidak berbudi
Umpama pokok, aduhai sayang
Umpama pokok tidak berbuah.

Bunga selasih
Bunga selasih si bunga padi
Buat hiasan, aduhai sayang
Buat hiasan di dalam taman
Pertama kasih
Pertama kasih kedua budi
Yang mana satu, aduhai sayang
Yang mana satu nak diturutkan.

Datuk laksamana
Datuk laksamana ke Bangkahulu
Belayar kapal, aduhai sayang
Belayar kapal membawa garam
Bagailah mana
Bagailah mana kapal nak lalu
Kuala sudah, aduhai sayang
Kuala sudah dilimbung karam.

Bungalah padi
Bunga padi bunga kiambang
Buat hiasan, aduhai sayang
Buat hiasan di taman bunga
Buahlah hati buahlah hati
Kekasih orang
Hamba menumpang, aduhai sayang
Hamba menumpang gembira saja.


Merdu lagunya bila didendangkan, hati terhibur juga bila lagu-lagu irama Malaysia selalu didengari sebegini;




Pantun dan kata-kata berangkap ini juga boleh menyampai sesuatu perkara dengan lebih indah dan jelas tanpa mengguris perasaan orang yang mendengar, seperti contoh di bawah;



Ilmu yang padat tak terasa kepadatannya, luahan perasaan yang membuak-buak dengan kemarahan, geram dan kritikan ini tidak menyakitkan telinga orang yang mendengar. Kebiasaannya, orang yang melakukan hal-hal sebegini tidak akan mendengar secara terus semua kata-kata nasihat sebegini (orang yang terjebak dengan maksiat, gejala sosial dan salah laku moral tidak akan ke masjid untuk mendengar ceramah agama. Orang yang ke masjid dan selalu ikuti acara sebegini adalah orang-orang yang dah baik. Jadi tidak perlu memaki dan salahkan orang yang baik dengan perbuatan orang lain). Apabila menggunakan pendekatan berhemah, lemah lembut dan menggunakan bahasa yang baik, apa yang disampaikan, orang tak bersalah yang mendengarnya juga tidak akan sakit telinga.

Orang Melaka dikatakan mempunyai kepakaran yang sangat tinggi bila berpantun. mampu berpantun secara spontan terutama dalam majlis meminang, perkahwinan dan acara rasmi yang lain. Dondang sayang menjadi taruhan keindahan seni warisan Melayu ini;



Bukan mudah untuk berpantun dan berseloka secara spontan. Kalau tak ada pengalaman, boleh jadi haru biru. Bukan sahaja seni warisan kita akan hilang, malah “caca marba” jadinya.



Itu belum lagi sengaja dijatuhkan mutunya oleh anak Melayu sendiri;



Sedangkan ada orang lain cuba sedaya upaya untuk memartabatkan. Adakah anda tak rasa malu?





Namun saya sangat berbangga dengan anak-anak muda ini yang sangat petah berpantun secara spontan sebegini. Setiap tahun UKM akan menganjurkan Pesta Pantun yang mendapat sambutan sangat hebat. Dan mereka memang sangat berbakat walaupun sebenarnya bakal doktor, pegawai pergigian atau bakal pegawai teknologi maklumat. Jual dan beli pantun ini adalah secara spontan. Tiada apa-apa catatan (saya antara hakim pada ketika itu). Kagum tak kalau tengok rakaman ini?





Jadi, apa kata sama-sama kita jaga warisan budaya ini?
Martabat anda tidak akan jatuh kalau mencintai budaya warisan tempatan. Akan lebih dikagumi dan dihormati, malah…lebih-lebih lagi andai nanti anda akan jadi BOSS bila dah kerja. Ini akan jadi sangat penting terutama bila anda belajar dan berkerja di luar negara. Siapa lagi yang akan kembangkan budaya warisan tempatan, andai bukan orang seperti anda yang menjadi Duta Kecil negara.

12 comments:

Fariq said...

pe kate 100 penulis anjurkan minggu berpantun dan buat contest through blog.. mesti dpt smbutan

Miss Kira said...

suka gila yang afiq , karam singh dgn apek punya vid..

cool..
xp nak jual pantun bukan senang..Kira penah cuba..malangnya..kira x berbakat dalam bidang ini..

huhuhu
xp suka dgr org berpantun terutama masa kenduri kawen.. hahaha

Latest entry: Men's Love

r.k said...

training kena lebih tuan , bukan senang nak berpantun .. pantun tak ikut rhyme boleh lah .. ahaha ..

XD

anyss said...

Salam,

satu dua tiga empat,
lima enam tujuh lapan;
berpantun perlu ada bakat,
tak siap-siap hingga kepala uban.


Meriahnya Aidiladha di Kelantan Edisi Tiga

nur.sa said...

pantun dua kerat mudah sedikit nak buat spontan. kalau empat kerat, amik masa sikitlah untuk saya.

Fina Sophie said...

langsung tak reti XD ah, bleh la yang takda rhyme haha.

maharam said...

FariQ: cadangan yang sangat bagus, tapi...kena tanya BOSS dulu tu

maharam said...

Miss Kira: Karam Singh adalah tokoh paling baik dalam bab keindahan peribahasa, pantun dan perumpamaan.

maharam said...

r.k: Alah bisa tegal biasa...asal sahaja nak, insyaAllah akan mudah...

maharam said...

anyss;

Pak Utih pergi pantai,
terus berlatih akan pandai.

maharam said...

nur.sa: Pesta pantun di ukm memang kena spontan...tanpa pen, tanpa kertas dan tak boleh minta tolong kawan ;) -----> saya pun tak mampu buat begitu, perlu juga ada catatan

maharam said...

Fina Sophie: Orang sarawak ramai yang pandai...mereka bergendang sarawak, macam orang melaka berdondang sayang.

Orang sabah, gimana bah?