Sunday, November 14

Kisah-Kisah Musim Sejuk: Sahak dan Vespa Kelabunya

Amaran: Entri Panjang. Diharap Pembaca Semua Bersabar

Sahak bukannya tak biasa dengan hujan. Dia berasal dari Taiping, Malaysia. Mengikut rekod terkini, bandar Taipinglah bandar yang menerima hujan yang paling banyak di Semenanjung Malaysia terutamanya di tempat sahak di besarkan, Bukit Larut. Tetapi ini bukannya Taiping. Ini bukannya Malaysia. Pada ketika itu Sahak tengah menenung sebuah kawasan bernama Glendalough, sebuah pekan kecil di kaki banjaran Wicklow. Kawasan ini antara yang paling cantik di Ireland. Macam di Bukit Larut, Glendalough juga menerima jumlah hujan yang banyak. Tidaklah lebat macam di Malaysia tetapi hujan renyai yang terus-menerus sepanjang tahun kecuali dua-tiga minggu di tengah-tengah musim panas.


Pagi itu tiada bezanya. Hujan renyai dah mula turun dari malam sebelumnya lagi, digabungkan pula dengan cuaca sejuk mencecah 5 darjah celcius dan kabus tebal yang seakan-akan telah menjadi satu dengan kawasan gunung-ganang di Glendalough. Memang lawa sungguh suasana pagi itu tetapi penduduk yang dah lama tinggal di Glendalough lebih mengetahui. Cuaca sebegini adalah sebuah petanda buruk tentang cuaca teruk yang bakal dihadapi.

Sahak berdiri di depan pintu rumahnya, menyedut panjang asap rokoknya yang sudah hampir sampai ke penghujungnya.




Beberapa tapak dari tempat Sahak berdiri, dua kenderaan kepunyaannya di suluh oleh cahaya malap sebiji mentol kecil di tempat letak kereta di tepi rumah kepunyaannya. Yang nampak tersergam gagahnya, sebuah Range Rover berwarna hitam yang baru di belinya setelah sekian lama diingini Sahak. Tersembunyi di sebelah Range Rover itu pula, kenderaan yang paling disayangi Sahak. Kenderaan yang kalau dengan sekilas pandang, boleh tersalah anggap sebagai seketol besi buruk, sebuah Vespa GS150 Messerschmitt berwarna kelabu metalik. Kalau Range Rover kepunyaan Sahak merupakan definisi sebuah kenderaan moden, selesa dan lasak, Vespanya pula definisi sebuah kenderaan sebuah zaman silam di mana manusia lebih tenang menghadapi trafik di jalanraya dan kaum wanita di Malaya masih boleh berbaju kebaya sambil duduk bersimpuh menunggang skuter.


Tanpa berfikir panjang, Sahak menolak Vespanya ke arah kawasan lapang di depan rumahnya.

Musim sejuk mengunjungi Glendalough lebih awal dari mana-mana tempat lain dan segala flora dalam lingkungan Glendalough sudah lama togel setelah bertukar dari hijau ke cokelat, untuk memanjangkan hayatnya sehingga bumi Ireland kembali berkenalan dengan sang matahari dalam masa beberapa bulan lagi. Sahak mengetatkan ikatan kufiyyah yang dililit di lehernya sambil mengenang nasibnya. Vespanya ibarat madu waktu dia ingin bergegas ke pejabatnya di tengah-tengah bandar Dublin yang sesak. Malangnya, madu itu juga kadang kala dicampuri racun bila dia terpaksa menghadapi cuaca macam di pagi itu.

Macam selalu, segala keraguan tentang keselamatan dirinya di tolak ke tepi begitu sahaja. Sahak merupakan seorang doktor yang bertanggung jawab. Pagi itu, di kliniknya sedang menunggu beberapa orang warga emas yang mengadu sengal-sengal, beberapa orang bayi yang kurang sihat dengan ibu bapa mereka yang risaunya tidak berkesudahan dan tidak ketinggalan juga, seorang-dua yang patah-patah tulang akibat terjatuh kerana keadaan ais licin di atas kaki-kaki lima di tengah bandar.

Pagi itu, klinik yang dikongsi oleh Sahak dengan seorang rakan universitinya lebih sibuk dari biasa. Cuaca sejuk begini memang musim untuk seribu satu jenis penyakit menyerang Bani Adam. Tambah pula Sahak seorang doktor yang agak popular. Ramai Mat Salleh yang tertarik kepada peradaban Melayu Sahak yang lemah-lembut dan loghatnya ketika bertutur dalam Bahasa Inggeris yang di anggap eksotik oleh kebanyakan orang di Ireland. Di zaman muda jahiliahnya, Sahak tidak segan-silu untuk menggunakan daya tarikannya ini untuk berkenal-rapat dengan sejumlah besar wanita di Ireland.

Tetapi, hari itu fokusnya bukan kepada wanita-wanita jelita. Fokus doktor ini ialah kepada pesakit-pesakitnya. Hari itu, setiap seorang pesakitnya memberikan khabar tentang cuaca di luar bilik tidak bertingkapnya yang makin lama, makin teruk bunyinya. Bila tiba sahaja waktu makan tengahari, Sahak menjenguk ke luar kliniknya dan memastikan cerita-cerita pesakitnya dengan mendengar laporan terkini di radio. Di Dublin, suhu belum lagi mencecah tahap beku tetapi, di kawasan pergunungan dekat rumahnya, salji sudah mula turun dengan lebatnya.

Saya nak kena tolak sebelum gelap hari ini. Tolong batalkan semua temujanji saya petang ini iye...?

Pinta Sahak kepada setiausahanya. Lebih kurang lima batu di luar bandar Dublin, Sahak mula risau. Ais dah mula menyelaputi jalanraya di bawah Vespanya dan di atasnya, salji yang turun walaupun putih melepak, semakin lama, semakin menggelapkan keadaan yang dah sedia kala gelap. Nasib baik tayar skuternya masih lagi mencengkam tar di jalan petang itu dan Sahak mencekalkan hatinya untuk meneruskan perjalanannya.

Pada musim panas, jalan yang bersimpang-siuh menuju ke Glendalough ini menjadi kegemaran penunggang-penunggang motorsikal, tak kiralah yang besar mahupun yang sekecil Vespa Sahak. Pada petang itu, bukan motorsikal yang memenuhi jalan tersebut tapi hanya sebuah kereta yang berada beberapa ratus meter di hadapan Sahak.

Walaupun situasi Sahak boleh dikatakan teruk, dia masih bersyukur. Sekurang-kurangnya kereta didepannya itu membolehkan Sahak menembusi salji yang takat itu sudah mula sekaki tingginya di atas jalanraya. Selama beberapa minit berlalu dan Sahak mengikuti jejak tayar yang ditinggalkan kereta didepannya. Tetapi, dengan setiap minit yang berlalu, salji yang turun pun makin menebal membuatkan jejak tayar kereta di depan Sahak  semakin cepat dikambus oleh salji dalam masa beberapa saat sahaja. Untuk memastikan yang Sahak tidak ditinggalkan di tengah jalan dalam setimbun salji, dia mula mengekori kereta itu dengan lebih rapat lagi.

Sahak mula menggelabah apabila kereta didepannya itu makin laju jadi Sahak mencuba sedaya upayanya untuk mengekori kereta itu sebaik mungkin. Sahak tak tahulah kalau pemandu kereta itu sedar atau tidak situasi yang dihadapi oleh Sahak dibelakangnya tetapi Sahak berasa lega bila pemandu kereta itu mula menekan brek keretanya dengan lebih kerap dan untuk memudahkan Sahak melihatnya dalam keadaan ribut salji itu, menyalakan lampu hazardnya sekali.

Itulah perjalanan balik yang paling lama sekali dalam hidup aku...Alhamdulillah, aku selamat sampai. 

Sahak berkata  pada dirinya sendiri sambil menolak Vespanya balik ke tempat letak keretanya, tanpa menjatuhkan skuter tersebut. Pada petang yang gelap itu, Sahak berjanji kepada dirinya untuk tidak menunggang Vespanya atau sebarang kenderaan dua roda lagi dalam keadaan yang begitu teruk.

*********************************

Epilog

Seorang wanita memandu keretanya masuk ke kawasan rumahnya dan menghebuskan nafas kelegaan. Kereta yang dipandunya, sebuah Toyota Avensis Verso mungkin sesuai tuntuk membawa anak-anaknya ke tadika yang berdekatan atau untuk ke kompleks beli-belah tapi untuk dibawa di kawasan gunung-ganang yang diliputi salji tebal? Tidak. Langsung tak sesuai.

Hah! Dah balik pun. Dapat beli ke tidak pizza tu?

Kata suami wanita itu kepadanya. Wanita itu menjeling suaminya sambil meletakkan pizza permintaan suaminya di atas meja di ruang tamu rumah mereka.

Eh, kenapa pulak ni? Ada masalah ke masa balik tadi?

Awak tak nampak ke kat luar tu? Tadi jalan teruk betul. Penuh dengan salji. Mula-mula saya bawak perlahan-lahan.Alih-alih muncul pulak skuter warna kelabu taik anjing belakang saya. Dia ikut saya sampailah ke simpang nak ke Glendalough tadi...

Suami wanita itu memandang isterinya dengan penuh perasaan kasihan sambil memikirkan pizza di atas meja yang sudah tidak panas lagi.

Saya takut jugaklah dengan salji yang tebal tu jadi saya teruskan jugaklah bawak perlahan-lahan tapi makin lama, makin rapat pulak skuter tu dengan saya. Bila saya hilang sabar, saya pecut sikit tapi, bila saya pecut, dia pun pecut jugak. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk menekan brek banyak kali dengan harapan dia jadi takut nak dekat dan menjauhkan diri dari saya. Tapi, mamat tu memang tak faham bahasa. Sampai saya pasangkan lampu hazard pun dia buat tak tau aje...

Wanita itu menenung suaminya dengan campuran perasaan marah dan mencari simpati. Reaksi suaminya agak mengecewakannya malam itu.

Dah lah. Lain kali awak pergi beli pizza sendiri...

Walaupun Sahak dan Chip merupakan tuanpunya Vespa, Chip tidaklah sekaya Sahak dan tak mampulah untuk membeli Range Rovernya sendiri. Watak Sahak adalah sebuah watak fiksyen semata-mata dan orang putih dalam kisah di atas sebenarnya bukanlah bercakap dalam Bahasa Melayu. Chip juga ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf jikalau kisah di atas terlampau panjang dan membuang masa pembacanya. Tapi, kalau ada pembaca yang berminat untuk membaca kisah-kisah yang seperti yang ini (dalam Bahasa Inggeris pula), jemputlah datang ke Hikayat Skuter Hijau...

9 comments:

nur.sa said...

sahak berjaya sampai ke rumah lepas berjaya mengekori rapat kereta isterinya rupanya?hahahaha. sengalll la sahak..

Fina Sophie said...

benda2 mcm ni selalu berlaku di sekeliling kita kan. mostly, kita tak sedar..... ;)

kusut said...

kita terlalu cepat nak judge orang lain. even dalam suratkhabar pun.. bile kite baca orang buat jahat je kita tuduh diorang takde perikemanusiaan. selalu kan?

Chip said...

@nur.sa: Asalnya bila di tulis, takde niat pun nak ada connection antara Sahak dan "isterinya" tapi, ikut feedback (nur.sa + 2-3 orang lain) macam tulah pembacaan diorang. Takpe, tujuan dia memang nak biar vague pun...

Chip said...

@Fina: Memang betol pun. Dunia nie makin kecik sangat sekarang nie.

Chip said...

@kusut: Hah..spot on. Memang aku dapat ilham tulis cerita nie pun dari suratkhabar specifically iklan untuk The Times (UK)yang bertajuk "See the Bigger Picture". Dah bertahun dulu aku tengok iklan tu tapi, sampai hari ni aku teringat impact iklan tu.

CikGadis said...

gadis dengan vespa tue bunda kamu ker?
hehehe.

Jemput singgah teratak CikGadis : Selamat Hari Raya Haji

humbleyat said...

haha..sian plak si sahak..bersungguh2 die dan vespanya..tapi, apa yg isteri die nmpk ;P

Mana dia Clipper Spekku?

Miss Kira said...

hahaha
cian sahak..