Tuesday, October 19

Kenapa Tak Nak Cakap?

Ini paparan kisah segelintir yang terlepas dari pandangan kita..

Pagi itu dingin namun peluh Haris telah membasahkan baju sekolah yang dipakainya itu. Masih ada 500m lagi mahu sampai ke sekolahnya. Rumahnya yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit itu memang jauh dari jiran tetangga, juga jauh dari sekolahnya. Ayahnya tidak punya motosikal untuk menghantarnya. Hanya basikal tua yang ditunggang untuk pergi bekerja seawal Subuh.



Arghh, keluhan hati Haris hanya dia yang tahu. Langkahnya semakin laju dek takut lambat sampai ke sekolah. Sudah beberapa kali dia lambat dan seringkali itu jugalah dia dimarahi oleh gurunya. Walaupun baru berusia 12 tahun, namun Haris sudah pandai memikul tanggungjawabnya membantu keluarganya yang susah. Ibunya sedang sakit kerana terjatuh ketika mahu menimba air di perigi. Oleh sebab itu, Haris dan adiknya Hassan, 9 tahun berusaha untuk membantu ayah mereka menyara dua orang lagi adiknya, Hamidah dan Hakim. Hamidah yang berusia 6 tahun, tidak bersekolah kerana keluarga mereka tidak mampu. Hakim pula baru berusia 3 tahun dan masih tidak mengenal erti kepayahan hidup.

Lamunan Haris terhenti sebaik sahaja sampai di sekolah, pintu pagar sudah tertutup rapat. Muka bengis pengawas tidak menggetarkan Haris kerana dia sudah biasa. Nama HARIS HAMID tercatit lagi dalam buku catatan si pengawas. Pasti waktu rehat ini dia dipanggil Cikgu Mansor, cikgu disiplin bermisai lebat di sekolah itu.

Sangkaan Haris tepat apabila dia dipanggil lagi. Cikgu Mansor masih lagi menyoal, kenapa dia lambat dan kenapa baju yang selekeh digunakan ke sekolah setiap hari? Setahu Cikgu Mansor, Haris pelajar yang pintar di dalam kelas, tidak pula ada masalah disiplin yang lain selain datang lambat. Tapi, Haris hanya terdiam, mulutnya terkunci. Baginya, tiada guna bersuara. Kesan rotan masih lagi tercalar pada punggung sebelah kanannya, mungkin hari ini sebelah lagi. Namun, Cikgu Mansor hanya membiarkan Haris keluar tanpa hukuman. Haris tidak peduli itu semua. Di dalam kelas, Haris menumpukan perhatian pada pelajarannya. UPSR sudah hampir pada masanya. Apabila loceng masa kelas tamat, Haris tergesa-gesa pulang. Tanpa disedari, ada yang mengekori.

Sesampai sahaja di rumah, Haris segera menanggalkan pakaian sekolahnya dan kasut sekolah. Ini kerana Haris dan Hassan berkongsi baju dan kasut sekolah. Ibubapa mereka tidak mampu untuk membeli pakaian yang baru. Dari jauh, airmata Cikgu Mansor jatuh juga. Sesalan timbul di hatinya kerana menghukum Haris tanpa usul periksa. Dalam hatinya, masih ada keluarga yang sangat daif yang tidak pernah meminta namun masih bersemangat mahu ke sekolah. Tanpa dihalang, Cikgu Mansor ke teratak keluarga Haris. Alangkah terkejutnya Haris melihat kelibat Cikgu Mansor. Ibu haris yang terbaring di sudut rumah mereka juga tersentak.

Huluran salam perkenalan Cikgu Mansor dengan keluarga Haris telah mengubah hidup Haris. Kini, dia dan adik-adiknya mampu ke sekolah dengan pakaian baru, yang dihadiahkan oleh Cikgu Mansor. Selain itu, Cikgu Mansor juga bersedia untuk membantu menghantar Haris adik beradik ke sekolah dan pulang dari sekolah. Kata Cikgu Mansor, dia ingin menebus salahnya terhadap Haris.

Pagi yang dingin kini tetap tersa dinginya tanpa ada peluh, tanpa ada debu melekat pada baju. Terima kasih Cikgu.

5 comments:

Fina Sophie said...

cerita2 mcm ni byk baca wktu sklh rendah dan sklh menengah dulu. hehehehe. terima kasih cikgu!

Sumandak Kinabalu said...

Sebak baca cerita ni...

KeCiK said...

Argh. Kalau tau tadi dah ready tisu dua tiga kotak. Tie pon jadi lah.

Srroottt...

Tengkiu chegu :)

Fynn said...

saya pernah suka cikgu disiplin saya!


weeeeeeeee^^

humbleyat said...

teringat juga cerpen2 zaman sekolah rendah dahulu isk isk